Monday, November 26, 2012

Malaysia - Beijing - Malaysia

Assalammualaikum...
setelah sekian lama tidak mengemaskini blog ini...
mahu menjenguk blog ini juga satu pekara yang amat payah untuk ku lakukan.. aku rupanya tidaklah begitu kuat seperti yg disangkakan. hampir separuh dari semangat ini hilang dibawa oleh dia.... tapi atas desakan kak Mag yang ku kenali di blog ini dan akhirnya menjadi teman rapat sehingga kini aku cuba gagahi untuk menaip alamat blog ini. kata beliau seorang sahabatnya mendapat inspirasi menjaga anak istimewanya setelah membaca blog ini. "kau harus teruskan sham" katanya....

ahhh boring sungguh layout blog ku ini rupanya. perlu diubah. perlu nafas baru. oleh kerana aku bukanlah pandai sangat menggunakan teknologi (komputer), ini sahaja yang mampu ku buat. 'try and error'.

Muharram baru sahaja menjelang, ku rasa apasalahnya aku berazam baru. perlu buka buku baru. An-Nur perlukan kekuatan aku dan suami. Disember bakal menjelma.. ahhh pejam celik hampir setahun Arwah Annisa pergi meninggalkan kami. Serasanya baru semalam aku menghantar arwah ke kuburan. 3 bulan di Beijing mencuba rawatan untuk An-Nur. Dan sudah hampir 6 bulan pula kami pulang ke Malaysia meneruskan hidup. Kesibukan membuatkan aku tidak pernah terasa yang aku telah kehilangan arwah. Alhamdulillah hidup telah kembali normal. kerinduan pada arwah sentiasa hadir. tetapi aku ada banyak cara untuk tidak diselubungi kesedihan walaupun dalam banyak keadaan aku sememangnya tewas....

Hampir 9 bulan menumpukan sepenuh perhatian pada rawatan dan latihan An-Nur, kami berasa amat bersyukur dengan hasil yang kami perolehi buat setakat ini. banyak perubahan yang dapat dilihat pada struktur tubuh dan kesihatan An-Nur. Semua ini berkat bantuan dan doa yang berterusan dari anda semua. Kami sememangnya tidak akan mampu membalas segala jasa baik dan budi kalian yang mampu kami lakukan adalah menjaga An-Nur sebaik mungkin. Doakan kami tidak lalai dalam perjuangan ini. Buat masa sekarang segala perhatian dan tenaga kami hanya untuk An-Nur.


An-Nur di Empangan Chamang Bentong


Gambar lama - Arwah Annisa dan Babah


Gambar Raya Aidilfitri Lepas - hanya bertiga


An-Nur Peneman Kami


Gambar sebulan sebelum kakak pergi



Semoga Allah setuju... pasti ada sambungan nya.... Raikan hidup...

Saturday, January 07, 2012

surat untuk kakak

assalammualaikum?....

sudah 16 hari kakak pulang ke kampung halaman kita, tinggalkan mama, babah dan adik.. mama masih terasa kakak masih ada. tiap-tiap malam mama tidur dengan baju yang kakak pakai masa kakak pulang hari tu. ada bau air liur kakak yang macam belacan (kata babah) tu.. tiap-tiap hari mama pesan kat kekasih abadi kita supaya titipkan rasa rindu mama pada kakak. kadang-kadang mama rasa cemburu sebab kakak bahagia sangat kat sana. mama rasa iri hati sebab kakak dah bersatu dengan kekasih abadi kita.

mama dah tak ada kawan dan gaduh. kakak kan suka buat mama marah dan naik angin. bila mama nak start buat kerja rumah aje kakak mulalah buat hal.. mengamuk terjerit-jerit... selalu mama pesan supaya kakak lebih beralah sikit dengan adik. mama selalu ajar kakak supaya bersabar sedangkan mama sendiri bukanlah orang yang sabar. mama pelik semenjak kebelakangan ini banyak sangat kucing datang ke rumah kita.. satu hari tu mama nak bagi kucing makan kakak mengamuk mama cakap dengan kakak "dalam dunia ini bukan kita aje nak hidup kakak, haiwan pun ada hak juga"... kakak terus diam tanda faham..

kakak setiap kali naik kereta mama akan akan pandang ke belakang tempat kakak selalu duduk. biasa mama akan pegang kaki kakak kalau kakak menangis. sekarang dah tak ada semua tu. mama pun dah keluarkan kerusi kakak... mama nak sedekahkan kat kawan-kawan kakak.

setiap hari mama pesan pada kekasih abadi supaya titipkan rasa rindu mama pada kakak.. kakak dapat tak pesanan tu?.. atau kakak memang tak ingat kat mama, babah dan adik. ialah orang tengah seronok. ramai ke kawan kakak kat sana? cantik tak? wangi tak? makanan mesti sedap dari yang mama masakkan?... ini semua yang buat mama cemburu dan iri hati tau..

adik sedikit murung selepas kakak pulang hari itu.. tapi dua tiga hari kebelakangan ini dia dah ok sikit. mungkin dia terasa kakak tak ada tidur kat sebelah dia. selalu kalau kakak sentuh dia dia marah macam tu juga kakak... mama akan cuba buat yang terbaik untuk adik ok.. insyaalah atas pengorbanan kakak.. mama tau kakak sayang adik walaupun adik selalu gelakkan kakak bila kakak batuk atau mengamuk...

mama sampai sekarang tak makan roti canai atau semua makanan kegemaran kakak. tak tertelan rasanya. bila nampak semua tu rasa rindu akan datang... mama tak sanggup.. mama dah tak masak bubur lambuk, sup ketam kegemaran kakak. cuma rebus kentang, sayur, keledek atau labu untuk adik aje.. selera adik kan pelik sikit.. westernlah kononkan... tapi mama puas hati sebab sempat masakkan bubur lambuk untuk kakak masa hari akhir hari tu. babah suapkan, kakak makan banyak. mama puas hati...

semenjak kakak pulang dan bersatu dengan kekasih abadi hanya sekali mama mimpikan kakak. dalam mimpi tu kakak tidur lena ditempat duduk kereta tempat biasa kakak. mama nampak badan kakak sihat, kulit kakak gebu dan sangat putih yang mama perasan jari-jari tangan kakak memang putih dan gebu. dalam hati mama cakap nyenyaknya kakak tidur dan cantiknya kakak.. hilang sikit rasa rindu mama pada kakak..

kakak doakan mama, babah dan adik ya.. doalah apa pun mama tau doa kakak mesti yang baik-baik sebab kakak anak soleh. itu doa babah dan mama masa kakak dan adik dalam kandungan setiap hari babah akan baca ayat kursi dan hembus diperut mama. alhamdulillah mama percaya tiada syaitan yang berani masuk dalam roh kakak dan adik. setiap hari juga mama dan babah berdoa supaya dikurniakan cahaya mata yang tidak akan dihisap di akhirat kelak.... ya alhamdulillah, kekasih abadi kita memakbulkan doa mama dan babah...

surat ini belum bernoktah, nanti mama sambung lagi......

Friday, December 30, 2011

Annisa 8 Februari 2001- 22 Disember 2011


ciuman terakhir dari Babah
ciuman terakhir dari mama


Pejuang itu lahir tanggal 6.30 petang di HUKM. Keluar melalui pembedahan adalah satu perjuangan. Dia membesar dalam keadaan kecederaan otak sehingga perkembangannya terlewat.


Bulan demi bulan apabila sering diserang Broncol Pneumonia, dia bertarung. Tercungap-cungap melawan dan selalunya dia menang.


Dia memang pejuang. Pernah dia terlalu lemah sehingga tidak mampu minum, doktor memasang tiub melalui hidung ke perut untuk memudahkan dia minum tanpa melalui mulut. Kedegilan kami untuk tidak mengikut saranan itu lalu mencabutnya dan kekuatan semangat perjuangan dia, akhirnya dia mampu makan dan minum tanpa bantuan tiub.

Dia turun ke jalan bersama adiknya untuk 'menyuarakan' haknya. Ramai menumpang semangatnya. Ke hulu ke hilir dia perjuangkan haknya. Dia tidak mengaku berjuang untuk orang lain. Disembur, ditembak, dia tenang. Dia tetap jua begitu walau ada suara-suara perkecil dan bibir mencebik.

Dia menolak untuk ke China, barangkali memberi ruang untuk adiknya kerana untuk mencapai sasaran kutipan masih terlalu jauh. Dia padamkan lilinnya di sini untuk menerangi lilin di kehidupan abadi. Untuk menerangi taman-taman wangi- mempersiapkannya untuk kami menyusul nanti.

Dia pulang menyatu dengan seribu rahsia. Ramai yang hadir di majlis kepulangannya. Ada tali terputus tiba-tiba bertaut kembali. Terlalu ramai yang hadir sehingga ada yang tidak dikenali. Aku sendiri tak pasti jika aku kembali nanti, adakah beritaku disiarkan di kaca tv. Tapi begitulah dia.

Dia memang pejuang.
Sehari selepas kepulangannya kami ke makamnya, dan terlihat ada bunga ditaburkan oleh seseorang yang tidak kami kenali. Bau semerbak wangi. Malam kepulangannya, rumah kami berbau kasturi- Apa lagi?

Sebab itu sejak saat dia kembali, 4 hari sebelum aku menyambut hari kelahiranku yang ke 38-aku menatap wajahnya, memandi, mengurus sehingga melihat dia ke liang lahad - sempadan kasih antara kami terkubur di situ- hingga saat menulis ini- belum setitis pun air mata aku gugur untuk pejuang ini.

Oh Annisa!

dari
Babah

Monday, November 21, 2011

SURAT BABAH

surat untuk anak

anak-anakku,
aku tulis surat ini tika kamu berdua sedang mengerekot damai tidur di sisi mamamu. aku tahu kau tak bisa mengenal huruf-huruf ini untuk dijadikan perkataan tapi aku sentiasa percaya akan bahasa rohani. aku tahu kau bisa membaca coretan ini. sebagaimana aku bisa melihat kau menari, berenang dan bercakap di dalam mimpi.

puteri-puteriku,
aku dan mama sayangkan kamu. itu kamu tak perlu ragu. walaupun aku bukan babah yang baik; sering tercampak semula ke nafsu ammarah walau konon sudah melintasi tingkat lawamah - tapi aku tetap sayangkan kamu. apa juga keadaan kamu, bukan masalah bagi kami.

dewi-dewiku,
jika keajaiban itu masih ada dan berlaku - dengan tiba-tiba kamu bisa bangun berlari dan berfikir, janganlah kamu campakkan diri kamu ke lembah hina. janganlah kamu menyembah makhluk. janganlah kamu tunduk dengan keangkuhan tuhan manusia yang cuba mengalungkan emas di lehermu. biar miskin, biar saudara buang kamu, kamu jadilah insan yang berjiwa merdeka. jadilah intan.

bunga-bunga hatiku,
Yang Maha Esa tidak menyusahkan kewujudanmu. kau hanya lahir untuk memerhati kekuasaanNya. Hitam atau putih kehidupan ini tak perlu kau endahkan. Yang Maha Suci hanya mahu kau tonton saja afa'al itu. kau tidak perlu berbuat apa-apa. kau kekasih istimewanya. tidak seperti aku, babahmu.

permata sukmaku,
aku babahmu diminta menjagamu. jika susumu dirompak, aku akan bangun bertindak. jika nasimu dirampas, aku akan bangkit melibas. selagi dadaku mampu menampan dentuman ombak cabaran, akan aku pertahankan. Demi cinta aku kepadamu. kasihku pada ibu yang melahirkanmu. jika aku tewas, jika aku bukan lagi seperti aku hari ini, jika aku gagal - harap tidak...
satu perkara kau perlu tahu - aku gugur kerana aku sayangkan kamu. kerana kalau hanya diam melihat kepala anak-anak aku dipijak, bapa jenis apakah aku..

anak-anakku,
jika keajaiban itu memang berlaku dan kau mampu berfikir - jangan kau kesali apa-apa dan jangan kau pinta apa-apa. teruskan saja apa yang kau ingin lakukan. pedulikan kata-kata sumbang si bodoh. terus terbang menuju cahaya.

intan payungku,
kita tak perlu fikirkan siapa di antara kita dahulu yang pulang menyatu dengan Yang Maha Abadi. Andai kamu atau mamamu, aku redha. jika aku dahulu, yakinlah bahawa kita semua akan bertemu menjadi satu di kampung halaman kita yang asal.

semoga kita aman.

dari aku,
babahmu.

Friday, July 01, 2011

KAMI SOKONG BERSIH


DEMI SEBUAH KEHIDUPAN DAN MASA DEPAN MALAYSIA YANG LEBIH GEMILANG KAMI MENYOKONG BERSIH..... NYAHKAN REGIM YANG MENINDAS DAN ZALIM...

JUMPA 9 JULAI 2011... KITA JALAN-JALAN DAN SANTAI-SANTAI..SEMUA KAUM, SEMUA BANGSA, SEMUA AGAMA, TAK KIRA WARNA KULIT... TIADA LANGSUNG PRASANGKA.....

Thursday, April 07, 2011

ULANGTAHUN KE8 AN-NUR


7 april. ulangtahun kelahiran an-nur yg ke 8th....kami tak dapat merayakan bersama-sama kerana an-nur ditahan di wad hospital serdang sebentar tadi... sebenarnya baru seminggu an-nur keluar wad selepas sesak nafas hari tu.. tak apalah.... an-nur bersama babah meraikan hari lahir bersama doktor dan nurse di wad 5a...

anak.. semoga kau tetap tabah dan kuat menghadapi dugaan ini.... mama, babah dan kakak sayang kamu....

selamat ulangtahun adik....

Tuesday, February 08, 2011

annisa 10 tahun


hari ni 8 februari kakak dah 10 tahun.
"sori, saya bad mood hari ni" . kata kakak sewaktu foto ini diambil.
kepada sesiapa yang sudi, jemputlah datang ke 12 feb, sabtu ni 7mlm-11mlm ada majlis kesyukuran dan jamuan.

alamat:-
45, jalan impian kasih 6,
saujana impian, kajang.

- depan tesco kajang

Thursday, October 28, 2010

Lightnur's Life Journey: What is Cerebral Palsy?

Lightnur's Life Journey: What is Cerebral Palsy?: "Taken from here. Cerebral Palsy If your baby has trouble learning to roll over, sit, crawl or walk, see your pediatrician. Delays in devel..."

Tuesday, October 26, 2010

penghargaan dan perhatian.....

Edward De Bono ada berkata "Manusia ini selain memerlukan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal mereka juga perlukan keperluan fisiologi antaranya penghargaan dan perhatian..."

Ngapa pula guna teori edward do bono pulak ni..?? bukan apa dah lama tak update blog ni.. tapi selalu berlegar2 melawati blog kawan2... Membaca blog ita, ina, maiyah, muha, water lily, kak nurul, sue allen dan lain2 lagi membuatkan aku rasa dekat dengan mereka semua walaupun ada diantaranya tak pernah bersua muka. Dan aku ni mmg malas nak komen tapi suka baca komen, walaupun komen di blog orang lain... kadang2 meleleh air mata baca komen2 tersebut..

apa yang aku nak cakapkan di sini ialah apa yg edward de bono katakan adalah benar kerana komen2 sahabat2 di blog memang banyak memberi semangat kepada kami... seolah2 kami dan anak2 dihargai dan wujud dimata mereka.... ya itulah maksud fisiologi yg aku faham...

Terima kasih kawan2....

Monday, August 16, 2010

selamat hari jadi mama.

selamat hari jadi yang ke 37, mama!
- dari kakak dan adik..


tahun ini sasterawan negara atok A. Samad Said dan isteri nenek Shidah menyambut bersama.

Sunday, April 18, 2010

aku dan kamu

SELAMAT MENONTON Short Movie dari Babah pasal "Aku dan Kamu"


Wednesday, April 07, 2010

adik 7 tahun


kaka, mama dan babah ucapkan "hepi besday" kepada adik yang 7 tahun hari ni..

Thursday, March 18, 2010

tolong sebarkan

18 Mac 2010

Bantuan Ikhlas Pembedahan - Puan Haryani

2 Rabiulakhir 1431H
Email : Ramzuzzaman Yusoff

Assalamualaikum wbt Ustaz.

Saya ingin memperkenalkan diri saya. Nama saya Ramzuzzaman Bin Yusoff, asal dari Kota Bharu Kelantan dan sekarang berniaga di Shah Alam No Telefon 019 962 3886. Sekarang saya bergiat dalam kegiatan Pembangunan Ekonomi Muslim - Bantu Muslim Menggunakan Cara kedua selain dari pinjaman Bank untuk memulakan perniagaan. Saya jalankan promosinya di Facebook.

Salah seorang rakan Facebook tampil menyatakan bahawa beliau menghidap masalah saraf yang serius. Terpaksa menjalani pembedahan di USM. Merujuk dari perbualan telefon antara saya dan wanita tersebut (seorang ibu tunggal 3 anak - kini di sara oleh ibunya seorang guru yang terpaksa bercuti selama lebih 3 bulan), beliau bakal dibedah pada 18hb Mac 2010.

Saya telah melancarkan Program Bantuan Ikhlas Pembedahan Puan Haryani di Facebook. Tetapi feedbacknya amat tidak memuaskan. Sehinggakan jumlah wang yang terkumpul untuk pembedahan esok (RM8++) masih tidak mencukupi. Oleh yang demikian, saya telah berusaha bersama-sama dengan rakan2 FB yang lain untuk mendapatkan sumbangan ikhlas dari mana2 badan atau NGO serta para Menteri yang terdapat dalam senarai Facebook saya. Namun amat kecewa apabila kebanyakkannya menolak untuk membantu.

Saya sangat berharap, Ustaz mampu membantu meringankan bebanan Puan Haryani ini. Pertolongan Ustaz, saya harapkan mendapat balasan dari Allah swt.

Di sini saya lampirkan bersama gambar beliau dan sijil dari Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian sebagai pengesahan masalah kesihatan beliau.

Nama: Haryani Mat Hussin.
No Account RHB Islamic Bank: 1-62139-0006744-7
Maybank: 164034266923
No. Telefon: 014 725 7787

Nota: Setakat hari ini PTMB adalah antara mereka yang telah menziarah dan memberikan bantuan kepada Haryani.

P.S: Ustaz juga boleh jenguk ke ruangan Facebooknya untuk meninjau sendiri kehidupannya dan update kesihatannya di
http://www.facebook.com/profile.php?id=100000311515392















Friday, March 12, 2010

Tuhan sayang Moeha..

gambar di bawah ialah abang Moeha, 31. Anak saudara penulis buku politik- Pak Habib (Syed Hussein Alattas).

3 bulan tidak apdet blog membuat mama tertanya-tanya apakah khabarnya abang Moeha. Rupa-rupanya abang Moeha dah hampir 10 hari terlantar di wad 7u, PPUM. Dikesan ada batu karang di hempedunya. Sewaktu batu disedut ambil dari dalam badannya, pankreasnya pula tercedera. Akibatnya abang Moeha sudah lebih sebulan tidak boleh makan.
Sebenarnya abang Moeha ada tumor di dalam kepalanya. Ketumbuhan tersebut mengenai saraf penglihatannya dan abang Moeha tidak dapat melihat dengan jelas lagi. Kedua kakinya juga sudah kebas. Babah seperti kehilangan kata-kata sewaktu mengunjungi abang Moeha Ahad lepas. Abang Moeha manusia hebat. Dia kelihatan lebih sihat berbanding bertemu beberapa bulan lalu selepas kimoterapi. Abang Moeha ceria dan kuat semangat. Tiada cerita sedih darinya.
"Ini pengalaman baru saya!" kata abang Moeha.
"Selepas pankreas saya sembuh, pembedahan merawat batu hempedu akan dijalankan. Dan kata Doktor mungkin saya akan pakai lampin juga selepas itu. Hempedu fungsinya memproses lemak. Mungkin saya akan terkena cirit-birit sejam selepas makan. Well, itu pengalaman baru dalam hidup saya nanti, hahahah!"

Lihat, abang Moeha masih boleh ketawa. Begitu juga apabila menceritakan peluang sembuh tumornya.
"Doktor kata susah, tapi Doktor bukan Tuhan. Hahaha!". "Ini hidup kita, asalkan God bless us!"
Oleh kerana tak boleh makan, mama hadiahkan teddy bear. Abang Moeha ketawa. "mesti adik saya yang taruk bear ni dalam kereta nanti!". Abang Moeha sebenarnya dilahirkan kembar. Kembar perempuannya telah meninggal dunia 10 tahun lalu kerana barah payudara.

Kakak dan adik kagum denganmu abang Moeha! Tuhan sayang abang Moeha..

Saturday, February 27, 2010

terima kasih Sara!

Terima kasih Sara kerana sudi datang ke kafe kami. Sayang kakak dan adik tak dapat jumpa. Cuaca panas sangat, mama dan babah tak bagi kami keluar rumah.

babah bersama Sara yang comel


terima kasih uncle Farid dan Auntie Ita, lain kali datang lagi. Ada masa kami ke rumah Sara. Hari tu kami tak dapat datang.

Salam sayang!

Thursday, February 11, 2010

mari ke U.k5 kafe kami!

Kakak: Mama mengorak langkah membuka kafe yang terletak di G-18-GB, Jln Prima Saujana
2/D, Tmn Prima Saujana, Kajang berhampiran pasaraya Giant Kajang..

Adik : Selamat dilancarkan Jumaat lepas 5 Februari. Terima kasih kerana sudi hadir. Juga
Pak Cik Nik dan Pak Cik Pyanhabib yang membuat persembahan malam tu..

Kakak : Mama masak sendiri dan yakinlah ia Halalun toyyiba!
Adik : Tiada bahan perasa digunakan..
Kakak : Terima kasih juga kepada kawan2 babah dan mama yang datang setelah membaca di
blog dan facebook.
Adik : Ummu Asiah dan Pak Cik Bad pun datang!

Kakak : Oh ya! Menu istimewa mama ialah masak lomak lado api ayam biasa atau ayam
kampung, daging salai atau pun ikan keli salai. Ala carte atau pun set. Masak lomak lado
api boleh diminta tahap kepedasannya sama ada biasa atau maksimum.

Adik : Kerana mama akan masak sebaik dipesan dan ia akan dihidang panas
menggelegak dalam claypot.

Jom Datang!

Monday, February 08, 2010

Annisa 9 tahun

Adik mengucapkan Selamat Hari Jadi untuk kakak...



Kakak mengharungi berbagai cabaran dalam usia 9 tahun. Beberapa kali jatuh sakit hingga badan susut, pembedahan dan bermacam2 lagi...

Alhamdulillah, kakak kini sihat.

Wednesday, January 20, 2010

cerita 1, cerita 2, cerita 3

cerita 1

20/1/10
Hari ini kakak dan adik tak berapa sihat. pagi tadi pi klinik bawak balik ubat macam orang baru balik dari shopping. macam2 ubat dan banyak2 masaalah, masaalah yang paling berat ialah nak bagi A&A makan ubat... uh tension... dalam bab ini aku selalunya surrender dan babah merekalah yang akan ambil alih tugas yang sangat berat ini... sbb setiap kali bagi a&a ubat kesabaran aku pasti jatuh ketahap -0...

semenjak malam semalam kami suami isteri tak tidur kerana a&a sesak sbb terlalu banyak kahak dan hidung mereka tersumbat sebab selesema... oleh itu kami kena pastikan mereka berdua selesa. antara tugas yang perlu dijalankan apabila keadaan ini terjadi ialah menyedut kahak dengan menggunakan mesin penyedut kahak dan memberi mereka nebuliser setiap 2, 3 atau 4 jam sekali mengikut keperluan mereka.

Kalau pagi tadi aku terus ke hospital A&A pasti akan ditahan di wad. Aku sebenarnya paling boring nak duduk wad lama2 jadi seperti biasa kami akan jumpa dulu doktor panel di klinik yg biasa kami pergi... doktor ni dah faham sangat keadaan A&A sementelah doktor ni ada mempunyai adik yg menghidap cp juga jadi senang bercerita dengan beliau.

Tapi jangan risau Annisa dan Annur dah bertambah ok.. mak diakan pakar (gurauan syok sendiri)... ha ha ha .

---------------------------------------------------------------------------------
cerita 2

Kerana kehadiran Annisa dan Annur aku banyak belajar... tentang diri sendiri, kehidupan, persahabatan, persaudaraan dan tentang orang lain. aku suka menjadi pemerhati dan aku lebih sensitif pada persekitaran.

Melihat pada keadaan sekeliling aku kadang-kadang takut jika aku dikurniakan oleh Allah seorang anak yang normal, sihat dan bijak. Jika itu berlaku aku tidak yakin aku boleh menjadi seorang ibu dan manusia yang adil pada anak, diri sendiri dan pada Tuhan..... Maaf aku tak maksudkan orang lain aku hanya berkata tentang diri ku... Mungkin ada orang akan kata aku berfikiran negatif tapi aku lebih senang dengan keadaan sekarang.. bak kata pepatah alah bisa tegal biasa... inilah hidup ku inilah yang telah Allah tentukan untuk ku dan aku bahagia dengan keadaan ini....

Apakah aku redha dengan apa yang Allah kurniakan pada ku? aku tiada jawapan biarlah Allah yang menentukannya kerana sesungguh Dia maha mengetahui isi hati ini. Hanya Dia yang tahu.....

---------------------------------------------------------------------------------

cerita 3

Cerita ini terjadi pada pagi sabtu minggu lepas berlaku di sebuah restoran. 2 buah keluarga yang berasingan pada waktu yang sama.

keluarga A mempunyai 2 orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan umur lingkuangan 3 ke 5 tahun... aku rasa sedih kerana sepatutnya anak2 yang sedang membesar ini diberi sarapan yang berkhasiat tetapi tak tahu atas apa alasan anak2 ini di beri oleh ibu mereka maggie goreng sebagai sarapan.... dan lebih kasihan sang ayah dengan selamba menghadiahkan pada anak2 asap rokok yang tak lekang dari bibir.. apakah ini yang dikatakan kasih dan sayang?

keluarga B. mempunyai 2 orang anak juga. seorang dlm lingkungan 15 tahun dan seorang lagi dalam lingkungan 7- 8th... anak yg kecil terlalu leka bermain game dengan menggunakan handphone pada waktu yang sepatutnya diperuntukan bersama keluarga. dan si ibu begitu kasihkan anak ini menyuapkan anak ini roti canai... mungkin pada pandangan biasa tidak ada apa yg salahnya tapi bagi aku perlakuan ini begitu janggal dan dlm agama sendiri menyuruh kita berdiam diri.... mengapa berdiam diri??? dan anak ini sudah besar dia perlu belajar berdikari dan mensyukuri nikmat yang dikurniakan. dan pada akhirnya apa yang aku lihat makanan yang dipesan terlalu banyak berlebih dan aku sedih kerana berlakunya pembaziran sedangkan di luar sana terlalu ramai yang hidup dalam kelaparan.. apakah ibubapa sekarang tidak menerangkan pada anak2 tentang sunah dan adab makan seperti orang2 tua kita dahulu selalu berpesan "hormati rezeki...."

dua cerita di atas hanyalah untuk renungan dan supaya kita sama2 jadikannya sebagai tauladan.... hanya peringatan untuk diriku sendiri.

Sunday, January 17, 2010

Susan Boyle: Ikhlas

Pertama kali menonton klip ini pada pertengahan tahun lepas apabila disarankan oleh kak Mazlina dari Terengganu, aku terdiam seketika. Kagum... kenapa ?

Susan Boyle orang kampung - aku pun tak tahu dari mana daerah kampungnya di Britain tu tapi apa yang menarik dengan Susan Boyle ni ialah bakat, keberanian dan kekampungan dia. Sebelum dia membuka mulut untuk menyanyikan lagu I dreamed a dream ni baik juri mahupun penonton memandang rendah pada beliau... lihatlah betapa tak beradabnya orang putih ni mencebik beliau apabila beliau mengatakan mahu menjadi penyanyi profesional dan idolanya ialah Elaine Paige (aku pun tak tahu siapa penyanyi yg dimaksudkan, betul ke ejaan nama?).

Susan Boyle membuatkan aku terfikir bahawa selama ini betapa kita selalu menilai orang dengan imej luaran. Betapa selalu kita membuat ukuran keupayaan seseorang dengan pencapaian akademik, kecantikan dan kealiman luaran seseorang itu.

Ayuh... masih ramai Susan Boyle di luar sana... keluarlah dari kepompong yang membelenggu. Kenali potensi diri anda. Bermulalah dengan niat "LillahiTaala", ikhlas dan jujur dengan apa yang kita mahu. Pasti kita akan berjaya... dan kejayaan itu bukan mudah, pasti ada onak dan cabarannya tetapi manis dan indahnya kalau apa yang kita impikan itu menjadi kenyataan. Jadikan semangat Susan Boyle ini sebagai contoh untuk kita bermula. Yakin diri dan tutupkan mulut mereka dengan kehebatan kita yang sememangnya telah lama tersembunyi di dalam diri seperti Susan Boyle menutup mulut Simon.

p/s kalau aku rasa down aku selalu juga layari youtube dan dengar lagu nyanyian susan boyle ni... I dreamed a dream ni. tapi jangan terus bermimpi dan berangan tanpa apa2 tindakan nanti jadi Mat Jenin.



Friday, January 15, 2010

Jangan sedih dan Terima kasih kawan-kawan


Sudah sekian lama tak mengupdate blog A&A ni.. entah mengapa terasa sangat malas. mungkin penat dengan tugas harian dan aktiviti luar yg tak pernah habis2. tetapi dalam pada itu aku tak pernah lupa membuka blok kawan2. blog ita, ina, moeha, waterlily, pak kasim, light nur, afiaqah, yatie dan lain2 lagi. Banyak ilmu yang aku dapat demi memperbaiki pengetahuan ku tentang anak2 istimewa seperti annisa dan annur... dan ketahuilah aku juga meminjam semangat kalian dalam melalui kehidupan yang mencabar ini.

Entah mengapa terusik hati membaca coretan di blog ina dan ita seperti mengetahui dan faham perasaan mereka kerana aku pernah dan masih serta akan atau mungkin berterusan diduga dengan perasaan dan dugaan yang kalian hadapi (seperti yg mereka coretkan).... kepada adik2 ku ini aku berharap kalian berdua tetap tabah dan terus istiqamah dalam menjaga puteri2 kalian. dan aku pasti kalian amat kuat kerana sesungguhnya Allah tidak akan menduga kita jika kita tidak mampu menanggungnya... pejam celik aku pun tak sangka dari mana kekuatan dan semangat ini datang sesungguhnya inilah perancangan Allah untuk kita...

kepada mama afiqah dan lightnur.. dari blog anda banyak yang dapat ku pelajari.. banyak sekali benda2 yang aku tak tak tahu kalian memberikan jawapannya dalam tulisan kalian.. terima kasih banyak..

kepada pak kasim, walaupun kita dekat satu daerah tapi kita belum berkesempatan untuk berjumpa. kami sekeluarga mendoakan pak kasim sihat dan gembira selalu. kekuatan dan semangat pak kasim kami jadikan pegangan.

Moeha, bila teringatkan adik ku yang seorang ini entah kenapa hati ku terusik dan air mata pasti akan bergenang. akak mahu moeha terus kuat dan bersemangat kerana kekuatan dan semangat itu sahajalah ubat yang paling mujarab dik... gembira dan senyumlah selalu dik.

begitu juga dengan waterlily... kita tak berkesempatan bertemu... walaupun dlm minat yg sama dan selalu menghadiri program yg kami selalu juga pergi tapi belum ada rezeki untuk bertemu... semoga anda terus kuat.

yatie. coretan mu pasti menghiburkan sesiapa pun yg membacanya... semoga bahagia di sana.

kepada kak mazlina terima kasih atas bantuan mu dengan memberi Alat Bantu Mengajar untuk A&A dan tak ada apa yg boleh kami balas hanya kepada Allah sahaja kami berdoa semoga kak maz dan keluarga diberkati Allah sentiasa.. walaupun saya tak dapat merealisasikan apa yg kak maz ajar pada saya kerana ah.. alasan manusia sering beri alasan... terlalu banyak alasan bak kata pepetah hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. saya malu juga pada diri sendiri dan kak maz. maafkan saya.

Kepada Caah dan Kak Hasnah gombak terima kasih atas keperihatinan anda.. budi baik dan jasa kalian tak pernah kami lupa.. semoga kalian dilimpahi kebahagian dalam hidup

Cikgu jane terima kasih kerana sudi datang ke blog ini... kepada semua pembaca yg melayari blog ini terima kasih banyak2. aku bukanlah seorang penulis yg baik, cuma menulis dari gerak hati dan apa yang aku rasa... walaupun kadang2 lebih banyak bercerita tentang diri sendiri daripada cerita A&A jadi kalau tak sedap jangan kutuk ha ha ha ha..


p/s : pagi ni ada masa terluang aku sempat kemaskinikan blog A&A... dah lama nak buat tapi, oleh kerana kelembapan aku dlm IT ni membuatkan semua perancangan selalu tergendala. Penghargaan pada yg sahabat2 yg pernah masuk ke blog ini aku linkkan blog anda di sini.. terima kasih