Friday, December 30, 2011

Annisa 8 Februari 2001- 22 Disember 2011


ciuman terakhir dari Babah
ciuman terakhir dari mama


Pejuang itu lahir tanggal 6.30 petang di HUKM. Keluar melalui pembedahan adalah satu perjuangan. Dia membesar dalam keadaan kecederaan otak sehingga perkembangannya terlewat.


Bulan demi bulan apabila sering diserang Broncol Pneumonia, dia bertarung. Tercungap-cungap melawan dan selalunya dia menang.


Dia memang pejuang. Pernah dia terlalu lemah sehingga tidak mampu minum, doktor memasang tiub melalui hidung ke perut untuk memudahkan dia minum tanpa melalui mulut. Kedegilan kami untuk tidak mengikut saranan itu lalu mencabutnya dan kekuatan semangat perjuangan dia, akhirnya dia mampu makan dan minum tanpa bantuan tiub.

Dia turun ke jalan bersama adiknya untuk 'menyuarakan' haknya. Ramai menumpang semangatnya. Ke hulu ke hilir dia perjuangkan haknya. Dia tidak mengaku berjuang untuk orang lain. Disembur, ditembak, dia tenang. Dia tetap jua begitu walau ada suara-suara perkecil dan bibir mencebik.

Dia menolak untuk ke China, barangkali memberi ruang untuk adiknya kerana untuk mencapai sasaran kutipan masih terlalu jauh. Dia padamkan lilinnya di sini untuk menerangi lilin di kehidupan abadi. Untuk menerangi taman-taman wangi- mempersiapkannya untuk kami menyusul nanti.

Dia pulang menyatu dengan seribu rahsia. Ramai yang hadir di majlis kepulangannya. Ada tali terputus tiba-tiba bertaut kembali. Terlalu ramai yang hadir sehingga ada yang tidak dikenali. Aku sendiri tak pasti jika aku kembali nanti, adakah beritaku disiarkan di kaca tv. Tapi begitulah dia.

Dia memang pejuang.
Sehari selepas kepulangannya kami ke makamnya, dan terlihat ada bunga ditaburkan oleh seseorang yang tidak kami kenali. Bau semerbak wangi. Malam kepulangannya, rumah kami berbau kasturi- Apa lagi?

Sebab itu sejak saat dia kembali, 4 hari sebelum aku menyambut hari kelahiranku yang ke 38-aku menatap wajahnya, memandi, mengurus sehingga melihat dia ke liang lahad - sempadan kasih antara kami terkubur di situ- hingga saat menulis ini- belum setitis pun air mata aku gugur untuk pejuang ini.

Oh Annisa!

dari
Babah