Friday, December 30, 2011

Annisa 8 Februari 2001- 22 Disember 2011


ciuman terakhir dari Babah
ciuman terakhir dari mama


Pejuang itu lahir tanggal 6.30 petang di HUKM. Keluar melalui pembedahan adalah satu perjuangan. Dia membesar dalam keadaan kecederaan otak sehingga perkembangannya terlewat.


Bulan demi bulan apabila sering diserang Broncol Pneumonia, dia bertarung. Tercungap-cungap melawan dan selalunya dia menang.


Dia memang pejuang. Pernah dia terlalu lemah sehingga tidak mampu minum, doktor memasang tiub melalui hidung ke perut untuk memudahkan dia minum tanpa melalui mulut. Kedegilan kami untuk tidak mengikut saranan itu lalu mencabutnya dan kekuatan semangat perjuangan dia, akhirnya dia mampu makan dan minum tanpa bantuan tiub.

Dia turun ke jalan bersama adiknya untuk 'menyuarakan' haknya. Ramai menumpang semangatnya. Ke hulu ke hilir dia perjuangkan haknya. Dia tidak mengaku berjuang untuk orang lain. Disembur, ditembak, dia tenang. Dia tetap jua begitu walau ada suara-suara perkecil dan bibir mencebik.

Dia menolak untuk ke China, barangkali memberi ruang untuk adiknya kerana untuk mencapai sasaran kutipan masih terlalu jauh. Dia padamkan lilinnya di sini untuk menerangi lilin di kehidupan abadi. Untuk menerangi taman-taman wangi- mempersiapkannya untuk kami menyusul nanti.

Dia pulang menyatu dengan seribu rahsia. Ramai yang hadir di majlis kepulangannya. Ada tali terputus tiba-tiba bertaut kembali. Terlalu ramai yang hadir sehingga ada yang tidak dikenali. Aku sendiri tak pasti jika aku kembali nanti, adakah beritaku disiarkan di kaca tv. Tapi begitulah dia.

Dia memang pejuang.
Sehari selepas kepulangannya kami ke makamnya, dan terlihat ada bunga ditaburkan oleh seseorang yang tidak kami kenali. Bau semerbak wangi. Malam kepulangannya, rumah kami berbau kasturi- Apa lagi?

Sebab itu sejak saat dia kembali, 4 hari sebelum aku menyambut hari kelahiranku yang ke 38-aku menatap wajahnya, memandi, mengurus sehingga melihat dia ke liang lahad - sempadan kasih antara kami terkubur di situ- hingga saat menulis ini- belum setitis pun air mata aku gugur untuk pejuang ini.

Oh Annisa!

dari
Babah

Monday, November 21, 2011

SURAT BABAH

surat untuk anak

anak-anakku,
aku tulis surat ini tika kamu berdua sedang mengerekot damai tidur di sisi mamamu. aku tahu kau tak bisa mengenal huruf-huruf ini untuk dijadikan perkataan tapi aku sentiasa percaya akan bahasa rohani. aku tahu kau bisa membaca coretan ini. sebagaimana aku bisa melihat kau menari, berenang dan bercakap di dalam mimpi.

puteri-puteriku,
aku dan mama sayangkan kamu. itu kamu tak perlu ragu. walaupun aku bukan babah yang baik; sering tercampak semula ke nafsu ammarah walau konon sudah melintasi tingkat lawamah - tapi aku tetap sayangkan kamu. apa juga keadaan kamu, bukan masalah bagi kami.

dewi-dewiku,
jika keajaiban itu masih ada dan berlaku - dengan tiba-tiba kamu bisa bangun berlari dan berfikir, janganlah kamu campakkan diri kamu ke lembah hina. janganlah kamu menyembah makhluk. janganlah kamu tunduk dengan keangkuhan tuhan manusia yang cuba mengalungkan emas di lehermu. biar miskin, biar saudara buang kamu, kamu jadilah insan yang berjiwa merdeka. jadilah intan.

bunga-bunga hatiku,
Yang Maha Esa tidak menyusahkan kewujudanmu. kau hanya lahir untuk memerhati kekuasaanNya. Hitam atau putih kehidupan ini tak perlu kau endahkan. Yang Maha Suci hanya mahu kau tonton saja afa'al itu. kau tidak perlu berbuat apa-apa. kau kekasih istimewanya. tidak seperti aku, babahmu.

permata sukmaku,
aku babahmu diminta menjagamu. jika susumu dirompak, aku akan bangun bertindak. jika nasimu dirampas, aku akan bangkit melibas. selagi dadaku mampu menampan dentuman ombak cabaran, akan aku pertahankan. Demi cinta aku kepadamu. kasihku pada ibu yang melahirkanmu. jika aku tewas, jika aku bukan lagi seperti aku hari ini, jika aku gagal - harap tidak...
satu perkara kau perlu tahu - aku gugur kerana aku sayangkan kamu. kerana kalau hanya diam melihat kepala anak-anak aku dipijak, bapa jenis apakah aku..

anak-anakku,
jika keajaiban itu memang berlaku dan kau mampu berfikir - jangan kau kesali apa-apa dan jangan kau pinta apa-apa. teruskan saja apa yang kau ingin lakukan. pedulikan kata-kata sumbang si bodoh. terus terbang menuju cahaya.

intan payungku,
kita tak perlu fikirkan siapa di antara kita dahulu yang pulang menyatu dengan Yang Maha Abadi. Andai kamu atau mamamu, aku redha. jika aku dahulu, yakinlah bahawa kita semua akan bertemu menjadi satu di kampung halaman kita yang asal.

semoga kita aman.

dari aku,
babahmu.

Friday, July 01, 2011

KAMI SOKONG BERSIH


DEMI SEBUAH KEHIDUPAN DAN MASA DEPAN MALAYSIA YANG LEBIH GEMILANG KAMI MENYOKONG BERSIH..... NYAHKAN REGIM YANG MENINDAS DAN ZALIM...

JUMPA 9 JULAI 2011... KITA JALAN-JALAN DAN SANTAI-SANTAI..SEMUA KAUM, SEMUA BANGSA, SEMUA AGAMA, TAK KIRA WARNA KULIT... TIADA LANGSUNG PRASANGKA.....

Thursday, April 07, 2011

ULANGTAHUN KE8 AN-NUR


7 april. ulangtahun kelahiran an-nur yg ke 8th....kami tak dapat merayakan bersama-sama kerana an-nur ditahan di wad hospital serdang sebentar tadi... sebenarnya baru seminggu an-nur keluar wad selepas sesak nafas hari tu.. tak apalah.... an-nur bersama babah meraikan hari lahir bersama doktor dan nurse di wad 5a...

anak.. semoga kau tetap tabah dan kuat menghadapi dugaan ini.... mama, babah dan kakak sayang kamu....

selamat ulangtahun adik....

Tuesday, February 08, 2011

annisa 10 tahun


hari ni 8 februari kakak dah 10 tahun.
"sori, saya bad mood hari ni" . kata kakak sewaktu foto ini diambil.
kepada sesiapa yang sudi, jemputlah datang ke 12 feb, sabtu ni 7mlm-11mlm ada majlis kesyukuran dan jamuan.

alamat:-
45, jalan impian kasih 6,
saujana impian, kajang.

- depan tesco kajang