Monday, November 26, 2012

Malaysia - Beijing - Malaysia

Assalammualaikum...
setelah sekian lama tidak mengemaskini blog ini...
mahu menjenguk blog ini juga satu pekara yang amat payah untuk ku lakukan.. aku rupanya tidaklah begitu kuat seperti yg disangkakan. hampir separuh dari semangat ini hilang dibawa oleh dia.... tapi atas desakan kak Mag yang ku kenali di blog ini dan akhirnya menjadi teman rapat sehingga kini aku cuba gagahi untuk menaip alamat blog ini. kata beliau seorang sahabatnya mendapat inspirasi menjaga anak istimewanya setelah membaca blog ini. "kau harus teruskan sham" katanya....

ahhh boring sungguh layout blog ku ini rupanya. perlu diubah. perlu nafas baru. oleh kerana aku bukanlah pandai sangat menggunakan teknologi (komputer), ini sahaja yang mampu ku buat. 'try and error'.

Muharram baru sahaja menjelang, ku rasa apasalahnya aku berazam baru. perlu buka buku baru. An-Nur perlukan kekuatan aku dan suami. Disember bakal menjelma.. ahhh pejam celik hampir setahun Arwah Annisa pergi meninggalkan kami. Serasanya baru semalam aku menghantar arwah ke kuburan. 3 bulan di Beijing mencuba rawatan untuk An-Nur. Dan sudah hampir 6 bulan pula kami pulang ke Malaysia meneruskan hidup. Kesibukan membuatkan aku tidak pernah terasa yang aku telah kehilangan arwah. Alhamdulillah hidup telah kembali normal. kerinduan pada arwah sentiasa hadir. tetapi aku ada banyak cara untuk tidak diselubungi kesedihan walaupun dalam banyak keadaan aku sememangnya tewas....

Hampir 9 bulan menumpukan sepenuh perhatian pada rawatan dan latihan An-Nur, kami berasa amat bersyukur dengan hasil yang kami perolehi buat setakat ini. banyak perubahan yang dapat dilihat pada struktur tubuh dan kesihatan An-Nur. Semua ini berkat bantuan dan doa yang berterusan dari anda semua. Kami sememangnya tidak akan mampu membalas segala jasa baik dan budi kalian yang mampu kami lakukan adalah menjaga An-Nur sebaik mungkin. Doakan kami tidak lalai dalam perjuangan ini. Buat masa sekarang segala perhatian dan tenaga kami hanya untuk An-Nur.


An-Nur di Empangan Chamang Bentong


Gambar lama - Arwah Annisa dan Babah


Gambar Raya Aidilfitri Lepas - hanya bertiga


An-Nur Peneman Kami


Gambar sebulan sebelum kakak pergi



Semoga Allah setuju... pasti ada sambungan nya.... Raikan hidup...

Saturday, January 07, 2012

surat untuk kakak

assalammualaikum?....

sudah 16 hari kakak pulang ke kampung halaman kita, tinggalkan mama, babah dan adik.. mama masih terasa kakak masih ada. tiap-tiap malam mama tidur dengan baju yang kakak pakai masa kakak pulang hari tu. ada bau air liur kakak yang macam belacan (kata babah) tu.. tiap-tiap hari mama pesan kat kekasih abadi kita supaya titipkan rasa rindu mama pada kakak. kadang-kadang mama rasa cemburu sebab kakak bahagia sangat kat sana. mama rasa iri hati sebab kakak dah bersatu dengan kekasih abadi kita.

mama dah tak ada kawan dan gaduh. kakak kan suka buat mama marah dan naik angin. bila mama nak start buat kerja rumah aje kakak mulalah buat hal.. mengamuk terjerit-jerit... selalu mama pesan supaya kakak lebih beralah sikit dengan adik. mama selalu ajar kakak supaya bersabar sedangkan mama sendiri bukanlah orang yang sabar. mama pelik semenjak kebelakangan ini banyak sangat kucing datang ke rumah kita.. satu hari tu mama nak bagi kucing makan kakak mengamuk mama cakap dengan kakak "dalam dunia ini bukan kita aje nak hidup kakak, haiwan pun ada hak juga"... kakak terus diam tanda faham..

kakak setiap kali naik kereta mama akan akan pandang ke belakang tempat kakak selalu duduk. biasa mama akan pegang kaki kakak kalau kakak menangis. sekarang dah tak ada semua tu. mama pun dah keluarkan kerusi kakak... mama nak sedekahkan kat kawan-kawan kakak.

setiap hari mama pesan pada kekasih abadi supaya titipkan rasa rindu mama pada kakak.. kakak dapat tak pesanan tu?.. atau kakak memang tak ingat kat mama, babah dan adik. ialah orang tengah seronok. ramai ke kawan kakak kat sana? cantik tak? wangi tak? makanan mesti sedap dari yang mama masakkan?... ini semua yang buat mama cemburu dan iri hati tau..

adik sedikit murung selepas kakak pulang hari itu.. tapi dua tiga hari kebelakangan ini dia dah ok sikit. mungkin dia terasa kakak tak ada tidur kat sebelah dia. selalu kalau kakak sentuh dia dia marah macam tu juga kakak... mama akan cuba buat yang terbaik untuk adik ok.. insyaalah atas pengorbanan kakak.. mama tau kakak sayang adik walaupun adik selalu gelakkan kakak bila kakak batuk atau mengamuk...

mama sampai sekarang tak makan roti canai atau semua makanan kegemaran kakak. tak tertelan rasanya. bila nampak semua tu rasa rindu akan datang... mama tak sanggup.. mama dah tak masak bubur lambuk, sup ketam kegemaran kakak. cuma rebus kentang, sayur, keledek atau labu untuk adik aje.. selera adik kan pelik sikit.. westernlah kononkan... tapi mama puas hati sebab sempat masakkan bubur lambuk untuk kakak masa hari akhir hari tu. babah suapkan, kakak makan banyak. mama puas hati...

semenjak kakak pulang dan bersatu dengan kekasih abadi hanya sekali mama mimpikan kakak. dalam mimpi tu kakak tidur lena ditempat duduk kereta tempat biasa kakak. mama nampak badan kakak sihat, kulit kakak gebu dan sangat putih yang mama perasan jari-jari tangan kakak memang putih dan gebu. dalam hati mama cakap nyenyaknya kakak tidur dan cantiknya kakak.. hilang sikit rasa rindu mama pada kakak..

kakak doakan mama, babah dan adik ya.. doalah apa pun mama tau doa kakak mesti yang baik-baik sebab kakak anak soleh. itu doa babah dan mama masa kakak dan adik dalam kandungan setiap hari babah akan baca ayat kursi dan hembus diperut mama. alhamdulillah mama percaya tiada syaitan yang berani masuk dalam roh kakak dan adik. setiap hari juga mama dan babah berdoa supaya dikurniakan cahaya mata yang tidak akan dihisap di akhirat kelak.... ya alhamdulillah, kekasih abadi kita memakbulkan doa mama dan babah...

surat ini belum bernoktah, nanti mama sambung lagi......

Friday, December 30, 2011

Annisa 8 Februari 2001- 22 Disember 2011


ciuman terakhir dari Babah
ciuman terakhir dari mama


Pejuang itu lahir tanggal 6.30 petang di HUKM. Keluar melalui pembedahan adalah satu perjuangan. Dia membesar dalam keadaan kecederaan otak sehingga perkembangannya terlewat.


Bulan demi bulan apabila sering diserang Broncol Pneumonia, dia bertarung. Tercungap-cungap melawan dan selalunya dia menang.


Dia memang pejuang. Pernah dia terlalu lemah sehingga tidak mampu minum, doktor memasang tiub melalui hidung ke perut untuk memudahkan dia minum tanpa melalui mulut. Kedegilan kami untuk tidak mengikut saranan itu lalu mencabutnya dan kekuatan semangat perjuangan dia, akhirnya dia mampu makan dan minum tanpa bantuan tiub.

Dia turun ke jalan bersama adiknya untuk 'menyuarakan' haknya. Ramai menumpang semangatnya. Ke hulu ke hilir dia perjuangkan haknya. Dia tidak mengaku berjuang untuk orang lain. Disembur, ditembak, dia tenang. Dia tetap jua begitu walau ada suara-suara perkecil dan bibir mencebik.

Dia menolak untuk ke China, barangkali memberi ruang untuk adiknya kerana untuk mencapai sasaran kutipan masih terlalu jauh. Dia padamkan lilinnya di sini untuk menerangi lilin di kehidupan abadi. Untuk menerangi taman-taman wangi- mempersiapkannya untuk kami menyusul nanti.

Dia pulang menyatu dengan seribu rahsia. Ramai yang hadir di majlis kepulangannya. Ada tali terputus tiba-tiba bertaut kembali. Terlalu ramai yang hadir sehingga ada yang tidak dikenali. Aku sendiri tak pasti jika aku kembali nanti, adakah beritaku disiarkan di kaca tv. Tapi begitulah dia.

Dia memang pejuang.
Sehari selepas kepulangannya kami ke makamnya, dan terlihat ada bunga ditaburkan oleh seseorang yang tidak kami kenali. Bau semerbak wangi. Malam kepulangannya, rumah kami berbau kasturi- Apa lagi?

Sebab itu sejak saat dia kembali, 4 hari sebelum aku menyambut hari kelahiranku yang ke 38-aku menatap wajahnya, memandi, mengurus sehingga melihat dia ke liang lahad - sempadan kasih antara kami terkubur di situ- hingga saat menulis ini- belum setitis pun air mata aku gugur untuk pejuang ini.

Oh Annisa!

dari
Babah

Monday, November 21, 2011

SURAT BABAH

surat untuk anak

anak-anakku,
aku tulis surat ini tika kamu berdua sedang mengerekot damai tidur di sisi mamamu. aku tahu kau tak bisa mengenal huruf-huruf ini untuk dijadikan perkataan tapi aku sentiasa percaya akan bahasa rohani. aku tahu kau bisa membaca coretan ini. sebagaimana aku bisa melihat kau menari, berenang dan bercakap di dalam mimpi.

puteri-puteriku,
aku dan mama sayangkan kamu. itu kamu tak perlu ragu. walaupun aku bukan babah yang baik; sering tercampak semula ke nafsu ammarah walau konon sudah melintasi tingkat lawamah - tapi aku tetap sayangkan kamu. apa juga keadaan kamu, bukan masalah bagi kami.

dewi-dewiku,
jika keajaiban itu masih ada dan berlaku - dengan tiba-tiba kamu bisa bangun berlari dan berfikir, janganlah kamu campakkan diri kamu ke lembah hina. janganlah kamu menyembah makhluk. janganlah kamu tunduk dengan keangkuhan tuhan manusia yang cuba mengalungkan emas di lehermu. biar miskin, biar saudara buang kamu, kamu jadilah insan yang berjiwa merdeka. jadilah intan.

bunga-bunga hatiku,
Yang Maha Esa tidak menyusahkan kewujudanmu. kau hanya lahir untuk memerhati kekuasaanNya. Hitam atau putih kehidupan ini tak perlu kau endahkan. Yang Maha Suci hanya mahu kau tonton saja afa'al itu. kau tidak perlu berbuat apa-apa. kau kekasih istimewanya. tidak seperti aku, babahmu.

permata sukmaku,
aku babahmu diminta menjagamu. jika susumu dirompak, aku akan bangun bertindak. jika nasimu dirampas, aku akan bangkit melibas. selagi dadaku mampu menampan dentuman ombak cabaran, akan aku pertahankan. Demi cinta aku kepadamu. kasihku pada ibu yang melahirkanmu. jika aku tewas, jika aku bukan lagi seperti aku hari ini, jika aku gagal - harap tidak...
satu perkara kau perlu tahu - aku gugur kerana aku sayangkan kamu. kerana kalau hanya diam melihat kepala anak-anak aku dipijak, bapa jenis apakah aku..

anak-anakku,
jika keajaiban itu memang berlaku dan kau mampu berfikir - jangan kau kesali apa-apa dan jangan kau pinta apa-apa. teruskan saja apa yang kau ingin lakukan. pedulikan kata-kata sumbang si bodoh. terus terbang menuju cahaya.

intan payungku,
kita tak perlu fikirkan siapa di antara kita dahulu yang pulang menyatu dengan Yang Maha Abadi. Andai kamu atau mamamu, aku redha. jika aku dahulu, yakinlah bahawa kita semua akan bertemu menjadi satu di kampung halaman kita yang asal.

semoga kita aman.

dari aku,
babahmu.

Friday, July 01, 2011

KAMI SOKONG BERSIH


DEMI SEBUAH KEHIDUPAN DAN MASA DEPAN MALAYSIA YANG LEBIH GEMILANG KAMI MENYOKONG BERSIH..... NYAHKAN REGIM YANG MENINDAS DAN ZALIM...

JUMPA 9 JULAI 2011... KITA JALAN-JALAN DAN SANTAI-SANTAI..SEMUA KAUM, SEMUA BANGSA, SEMUA AGAMA, TAK KIRA WARNA KULIT... TIADA LANGSUNG PRASANGKA.....

Thursday, April 07, 2011

ULANGTAHUN KE8 AN-NUR


7 april. ulangtahun kelahiran an-nur yg ke 8th....kami tak dapat merayakan bersama-sama kerana an-nur ditahan di wad hospital serdang sebentar tadi... sebenarnya baru seminggu an-nur keluar wad selepas sesak nafas hari tu.. tak apalah.... an-nur bersama babah meraikan hari lahir bersama doktor dan nurse di wad 5a...

anak.. semoga kau tetap tabah dan kuat menghadapi dugaan ini.... mama, babah dan kakak sayang kamu....

selamat ulangtahun adik....

Tuesday, February 08, 2011

annisa 10 tahun


hari ni 8 februari kakak dah 10 tahun.
"sori, saya bad mood hari ni" . kata kakak sewaktu foto ini diambil.
kepada sesiapa yang sudi, jemputlah datang ke 12 feb, sabtu ni 7mlm-11mlm ada majlis kesyukuran dan jamuan.

alamat:-
45, jalan impian kasih 6,
saujana impian, kajang.

- depan tesco kajang